Monday, January 24, 2011

Cinta Ilahi Kekal Abadi

Memikirkan permulaan yang menarik bagi menulis sesebuah artikel merupakan sesuatu yang amat menguji kreativiti seseorang. Inilah antara yang dialami oleh saya apabila ingin menulis artikel ini walaupun mempunyai tajuk serta isi yang jelas tentang apa yang hendak dibincangkan tetapi masalah yang selalu dihadapi oleh adalah muqaddimah kepada artikel itu sendiri.

Oleh kerana merasa terpanggil untuk menulis tentang suatu tajuk yang saya rasa amat luas perbahasannya tetapi telah diperkecilkan oleh segolongan besar manusia sehinggakan pemikiran manusia tentang ia telah menjadi sempit. Maka atas sebab ini tajuk yang ingin saya ceritakan adalah berkaitan dengan satu perkara yang disebut sebagai ‘Cinta’.

Atas sebab apa saya memilih tajuk ‘Cinta’? Kenapa tidak diceritakan tentang kekeluargaan ataupun gejala sosial yang telah menimpa umat Islam pada zaman ini? Ini adalah kerana hampir setiap gejala sosial yang berlaku dalam negara Malaysia khususnya seperti kes pembuangan anak, murtad, zina, budaya couple islamik (kononnya) yang akhirnya menjadi mukadimah kepada zina itu sendiri, dan lain-lain lagi berpunca dari masalah tidak memahami erti ‘Cinta’ itu sendiri.

Saya boleh menyimpulkan bahawa semua perkara yang saya sebut di atas adalah berkaitan dengan tajuk ‘Cinta’ yang ingin saya utarakan dalam artikel saya ini. Inilah kesan akibat daripada sikap kita yang telah menjadikan agama sebagai dasar untuk menghalalkan segala-segalanya yang pada pandangan kita merupakan suatu kebaikan tetapi sebaliknya menjadi bahan bakaran kita di hari akhirat kelak.

Walaupun takrifan cinta adalah merupakan suatu tajuk yang amat besar jadi saya hanya berhajat untuk menumpukan kepada sebahagian dari ‘Cinta’ iaitu cinta yang dialami oleh golongan remaja. Saya boleh katakan bahawa tafsiran ‘Cinta’ yang dibawa oleh golongan remaja zaman sekarang adalah cinta yang sangat sempit dan ramai orang akan bersetuju dengan kenyataan saya ini. Mengapa saya berkata demikian?

Tanyakan kepada seorang budak yang berumur 6 tahun ‘apa makna cinta?’ lantas dia akan menjawab tidak tahu. Tanyakan pula kepada seorang yang bersekolah rendah maka dia akan menjawab perasaan suka di antara seseorang yang berlainan jantina. Sekiranya ditanyakan kepada golongan remaja tentang cinta maka kita mungkin akan mendapat penjelasan yang berbeza dan berbagai. Kebanyakannya mengambil falsafah dari filem-filem cinta atau novel-novel yang mereka cintai.

Mereka mengatakan bahawa cinta itu adalah pengorbanan dan rasa ingin memberi seperti cinta yang ditunjukkan dalam filem-filem Hindustan atau dalamnya rasa cinta seperti filem-filem Korea atau filem-filem Melayu yang terkenal seperti Lagenda Budak Setan. Secara keseluruhannya, takrifan cinta yang difahami oleh segolongan besar remaja adalah cinta kepada pasangan atau kekasih. Lebih mudah dikenali pada masa kini adalah istilah cinta couple.

Sebagai contohnya dalam perkara menjaga batas pergaulan lelaki dan perempuan sebelum berkahwin, saya tidak betah melihat ia dilaksanakan dalam bentuk yang menjadikan agama sebagai bahan senda.

Pada zaman yang serba canggih ini timbul istilah bercouple kerana Allah. Satu istilah yang amat popular digunakan oleh golongan remaja sekarang. Golongan ini telah berdusta dengan kenyataannya kerana sekalipun bercouple dengan diniatkan kerana Allah tetapi pelaksanaannya amat jauh sekali dari apa yang Allah tetapkan. Sebagai contoh seorang lelaki merompak atas sebab ingin mengerjakan haji. Haji merupakan sesuatu yang dituntut dalam Islam bagi yang mampu adapun merompak merupakan sesuatu yang dilarang dalam Islam.

Melihat lelaki dan perempuan berjalan tunduk hingga melanggar tiang koridor, menyaksikan sepasang ahli dakwah ber‘sms’ pada jam 4 pagi dengan alasan mengajak Qiamullail (kononnya), hinggalah kepada terjebaknya anak muda yang hafiz dan hafizah di dalam kancah zina. Ini semuanya amat menggerunkan dan punca perkara ini berlaku adalah apabila agama cuba diamalkan dalam bentuk yang tidak kena dengan kemanusiaan manusia.

Saya cuba melihat perkara ini dari perspektif agama serta dari hasil fikiran yang rasional kenapa perkara sebegini berlaku. Memang tidak dinafikan bahawa memang fitrah manusia untuk disayangi dan ingin disayangi tetapi saya tidak menemui suatu perkara yang membolehkan manusia menurut fitrah kejadiannya dengan membelakangkan agama itu sendiri. Kemungkinan juga oleh kerana couple telah menjadi budaya maka yang tidak bercouple terasa janggal kerana tidak turut sama bercouple.

“Ala…kami bercouple bukannya berpegangan tangan, berjumpa pun jarang-jarang sekali, kalau berjumpa pun disertai mahram dan kami ber‘sms’ pun atas dasar ingin menasihati sesama diri kepada Allah”

Begitulah keluhan sesetengah manusia yang cuba menghalalkan budaya couple tetapi mereka telah silap dalam membuat pertimbangan. Walaupun tidak berpegangan tangan, berjumpa jarang-jarang sekali ataupun ber‘sms’ atas dasar ingin menasihati kepada Allah namun mereka telah melupakan suatu perkara yang jelas bahawa sebenarnya terdapat suatu lagi maksiat yang mereka lakukan iaitu zina hati.

Hati yang dilalaikan dengan cinta sesama manusia yang bersifat sementara tidak mungkin dapat merasai cinta Ilahi yang bersifat kekal.

Dari Mata Turun Ke Hati

Setiap lelaki mendambakan pasangan yang cantik namun definisi cantik itu mungkin berbeza bagi setiap lelaki. Sama halnya dengan wanita mereka mungkin menginginkan hal yang sama. Ini mengingatkan saya kepada suatu puisi yang pernah diungkapkan oleh Ibnu Hazm Al-Andalus dalam sebuah buku karangan beliau.

Gadis jelita seolah dicipta Tuhan dari cahaya,
Keindahannya tidak boleh dilukis dengan kata-kata;
Seandai balasan diriku seelok dirinya,
Di hari saat dihisab dan dibangkitkan manusia;
Nescaya akulah hamba yang paling bahagia,
Aku raih dua syurga dekat dengan bidadari tercinta.


Tidak salah bercinta sekiranya kena dan betul pada tempatnya. Kelemahan dalam memahami definisi cinta telah mencetuskan bibit-bibit cinta yang hanya berlandaskan nafsu semata-semata dengan membelakangkan Allah dan Rasul-Nya. Didiklah nafsu untuk mengikut apa yang diperintah oleh Allah dan Rasul-Nya supaya mencapai kebahagian di dunia dan akhirat.

Keinginan syahwat jangan kau ikuti,
Pangkal segala maksiat jangan kau datangi,
Sungguh, syaitan itu masih hidup dan belum mati;
Sungguh, mata itu pintu fitnah dan laku keji,
Kau kata, perkataanmu prasangka belaka;
Yang buat dirimu sesat selama-lamanya.
Aku kata, diam dan jangan bicara;
Hentikan celamu, syaitan ada di mana-mana.

Jadi soalan yang penting untuk dijawab oleh semua:
Anda sudah mempunyai kekasih atau tidak?
Jika anda sudah ada sudah tiba masanya anda memutuskan hubungan dengannya sekarang. Bagi yang sedang mencari tangguhkan dulu niat anda.

Percayalah bahawa ini adalah kebaikan yang baik untuk anda kerana redha Allah tidak pernah wujud pada sesuatu hubungan yang tidak mempunyai ikatan yang dibenarkan oleh syarak. Sekiranya ada jodoh insyaAllah dia akan menjadi pendamping hidup anda hingga ke akhir hayat anda. Laksanakan terlebih dahulu tanggungjawab anda terhadap Allah dan Rasul-Nya, agama anda, keluarga anda, pelajaran anda serta sahabat anda.

Akhir kata, nasihat saya kepada golongan pemuda dan pemudi yang mula berjinak ataupun yang sedang berjinak dengan ‘Cinta” jangan lalaikan diri dengan cinta yang sementara sehingga meninggalkan cinta yang kekal abadi. Dalam perjalanan mencari cinta abadi kita akan menemui cinta yang diredhai untuk mencapai kejayaan di negeri yang abadi.

Cintakan bunga….bunga kan layu
Cintakan manusia….manusia kan mati
Cintakan dunia….dunia kau tinggalkan pergi
Cintakan Ilahi….CINTA SEJATI
(petikan dari Ustaz Hasrizal Abdul Jamil)

Selamat mencari cinta yang abadi…

2 comments:

frhfm said...

nice article ashraf, alhamdulilah.. sdkit sbyk menyedarkan aku ^^

Fyruz said...

nice article..
for me "couple" things is not going anywhere la..
tambh dosa lg ada lah..
SAY NO TO ILLEGAL LOVE.
:)