Saturday, February 26, 2011

Sahabatku Yang Bernama Nabil


“Jauh perjalanan luas permandangan” kata orang tua, bukan sahaja luas pandangan tetapi menambah jaringan teman-teman baru serta memberi pengalaman yang sering kali mematangkan diri dalam perjalanan mencapai usia dewasa. Fenomena ini sering kali berlaku kepada setiap individu tidak juga terlepas kepada diri yang menulis artikel ini.


Teman adalah sebuah refleksi, siapa kita dan siapa kawan kita. Setiap orang akan memilih seseorang yang memiliki kecenderungan yang sama, salah memilih kawan akan menyebabkan seseorang itu tersalah dalam menentukan hala tuju hidupnya. Berbeza dengan kawan yang sejati, kawan yang sebegini akan mengingatkan dia kepada akhirat serta menginsafi bahawa dunia adalah tempat melakukan amal sebagai bekalan untuk menghadapi hari akhirat kelak.


Sepanjang pengajian saya di Bumi Yaman, saya turut mendapat beberapa orang sahabat yang amat menarik keperibadiannya. Teringat saya ketika pertama kali menjejak kaki ke bumi Yaman. Tanpa disedari telah hampir 2 tahun lebih saya menimba ilmu di bumi Yaman. Banyak kenangan yang didapati ada di antara kenangan yang pahit ada yang sebaliknya namun yang pastinya ia adalah pengalaman yang mematangkan diri sepanjang perjalanan mencapai usia dewasa.


Perkenalan dengan seorang teman yang bernama Ahmad Nabil Fikri sedikit sebanyak menyedarkan diri ini akan keperluan untuk berubah. Seseorang yang murah dengan senyuman, ceria peribadinya, jarang marah serta amat menghargai sesiapa yang bersahabat dengannya. Biarpun mempunyai umur yang jauh lebih muda dari teman-teman serumah yang lain namun dikurniakan oleh Allah mempunyai daya pemikiran yang jauh lebih matang dari kebanyakan manusia yang mempunyai umur yang sama dengannya.


Setelah kepulangan saya ke Malaysia selama 3 bulan atas alasan untuk menjenguk keluarga yang hampir 2 tahun ditinggalkan. Dia juga turut ketinggalan dalam melakukan hal yang sama biarpun tidak bertemu dengannya sepanjang keberadaan di Malaysia atas alasan-alasan yang tidak dielakkan namun tidak pernah sekali empunya diri lupa untuk berhubungan dengannya.


Apabila kembalinya kami ke Yaman untuk menyambung pengajian, saya serta sahabat-sahabat lain dikejutkan dengan berita akan pemergian beliau ke Indonesia dalam masa yang terdekat. Kesibukan bergelut dengan pengajian dan persatuan sedikit sebanyak menghalang untuk lebih meluangkan masa dengan beliau sebelum berangkatnya beliau ke Indonesia.


Selang beberapa bulan, beliau telah berangkat pulang ke Malaysia pada 26 Feb 2011 sebelum menyambung pengajian beliau di Indonesia. Semestinya berita ini datang sebagai tamparan yang hebat kepada seluruh warga rumah. Namun begitu keceriaan beliau sedikit sebanyak menghilangkan hiba warga serumah dalam menghadapi situasi ini. “Beliau memang seseorang yang ceria, detik hatiku”.


Saya khususkan artikel ini untuk sahabat saya Ahmad Nabil Fikri Bin Norhashimi.


Nabil, perjuangan kita masih jauh namun walaupun jauh sekalipun tidak mungkin kita akan meninggalkan perjuangan yang sama-sama kita dokong ini. Tanamkan dalam hati anta nasihat Hasan al-Banna bahawa tanggungjawab yang kita ada lebih banyak dari waktu yang diberikan kepada kita. Kehidupan ini mungkin ada payahnya namun di sebalik kepayahan itu ada ibrah serta hikmahnya. Belajar bersungguh-sungguh ketika berada di Indonesia nanti. Maafkan segala silap dan salah ana kepada anta kerana ana adalah seorang manusia yang tidak pernah terlepas dari melakukan kesilapan. Biarpun jauh mana sekalipun anta berada ketahuilah ana tetap sahabat anta sebelum dan selepas daripada pemergian anta.”


Saya tidak mempunyai banyak mutiara yang berharga untuk diberikan kepada beliau. Hanya doa serta nasihat yang dapat saya berikan sebagai tanda kenangan serta penghargaan saya kepada beliau.


Akhir kata, semoga Allah mengekalkan kita sebagai sahabat bukan sahaja di dunia tetapi sahabat yang sama-sama memimpin ke syurga di hari akhirat kelak.


Selamat berjuang wahai sahabatku Ahmad Nabil Fikri Bin Norhashimi

Sunday, February 13, 2011

Hari Valentine

Perayaan Valentine merupakan ajaran masyarakat Rom Jahiliah yang masih kekal walaupun selepas mereka menganut ajaran Kristian. Perayaan yang disambut setiap 14 Februari merupakan penyaksian bagi setiap pasangan kekasih untuk mengungkapkan rasa cinta mereka antara satu sama lain dengan mengadakan pelbagai rancangan dan program dengan tujuan menghangatkan lagi bibit percintaan antara mereka.

Perayaan Valentine bermula dengan kisah kematian seorang paderi yang bernama St. Valentine yang dibunuh oleh Maharaja Rom yang bernama Cladius ketika 269 hingga 270 Masihi. Kisah pembunuhan ini menyebabkan St. Valentine diabadikan oleh masyarakat Rom oleh kerana pengorbanan yang dilakukan oleh St. Valentine untuk mempertahankan cintanya sehingga terbunuhnya dia kerana keteguhan pendiriannya.

Perayaan Valentine ini jelas bertentangan dengan ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW kerana identiti budaya yang mengalakkan kebebasan golongan remaja dalam menjalin atau mengikat sesuatu hubungan di luar nikah.

Rasulullah SAW bersabda : Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia termasuk di dalam kalangan mereka.

Sebagai seseorang yang menganut agama Islam maka hendaklah dia berbangga dengan agama yang dianuti oleh beliau. Islam sebagai cara hidup yang Allah SWT telah turunkan melalui pengutusan Rasul turut mengariskan perayaan bagi umatnya. Perayaan yang kita tempuhi perlulah mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Allah SWT.

Hadis Abu Daud yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a. secara jelas menegaskan bahawa Allah SWT telah memperuntukkan bagi umat Islam dua perayaan untuk menggantikan segala bentuk perayaan yang diwarisi dari zaman jahiliah dan sumber yang tidak Islam. Dua perayaan tersebut adalah Aidilfitri dan Aidiladha.

Jika kita sebenar-benarnya mahu membuktikan kasih sayang, maka buktikanlah dengan cara yang telah ditetapkan oleh Islam. Tidak perlu kita menunggu 14 Februari, berkahwin merupakan Sunnah Nabi SAW, yang sekiranya kita serius ke arah itu, susunlah agenda hidup ke arahnya dengan baik. Perkahwinan adalah satu gagasan yang memerlukan seseorang itu mempunyai persediaan yang jitu sebelum melaksanakannya.

To love someone is nothing,

To be loved by someone is something,

To be loved by someone you love is exciting,

BUT to be loved by Allah is everything

Carilah cinta ILAHI nescaya kamu akan memperolehi cinta yang kekal abadi!!!!!

Friday, February 11, 2011

Ulasan Isu Semasa

Dunia digembarkan dengan berita tentang demonstrasi besar-besaran yang berlaku di negara Mesir. Demonstrasi yang bermatlamat mendesak Presiden Mesir iaitu Mohamad Hosni Mubarak supaya melepaskan jawatan beliau yang telah beliau pegang selama lebih kurang 32 tahun sejak kematian Anwar Sadat yang merupakan Presiden Mesir yang sebelumnya.

Ini berlaku hasil dari revolusi yang berlaku di Tunisia. Revolusi yang dipimpin oleh Muhammad Bouazizi telah menjatuhkan kerajaan yang dipimpin oleh regim Ben Ali yang telah memerintah selama 23 tahun. Pemerintahan yang menindas rakyat selama bertahun-tahun akhirnya menyaksikan kebangkitan rakyat sehingga tergulingnya pemerintahan regim Ben Ali.

Hasil dari kebangkitan rakyat yang menjatuhkan kerajaan zalim di Tunisia telah membakar semangat rakyat Mesir untuk menentang Hosni Mubarak yang merupakan sekutu Israel yang paling rapat. Kesabaran rakyat yang menyaksikan penindasan serta kekejaman yang dilakukan oleh beliau tidak dapat ditolenrasikan lagi.

Rafah salah satu tempat di Mesir merupakan antara pintu yang menghubungkan manusia dengan Gaza. Gaza yang terletak di Palestin boleh dimasuki melalui tujuh pintu, namun enam daripadanya dikawal oleh pihak berkuasa Israel hanya Rafah sahaja yang dibuka untuk misi kemanusiaan. Namun untuk memasukinya amatlah susah dan terpaksa melalui pelbagai prosedur.

Sebelum kejadian demonstrasi besar-besaran kita dikejutkan dengan pembinaan tembok pemisah yang bertujuan menghalang perjalanan di antara Gaza dan Rafah. Meskipun mendapat bantahan daripada Badan Ulama Al-Azhar yang merupakan sayap kanan Universiti Al-Azhar namun projek ini tetap mendapat kelulusan daripada Presiden Mohamad Hosni Mubarak. Para ulama menyatakan pendirian mereka dalam isu ini bahawa pembinaan tembok ini adalah haram di sisi agama, undang-undang manusia dan juga kemanusiaan seolah-olah dengan sekatan ini membenarkan penceroboh Yahudi membunuh warga Palestin yang disekat.

Oleh sebab itu, Mesir dinamakan sebagai nadi umat Islam kerana peranannya yang besar dalam membebaskan kota Palestin dari cengkaman Yahudi. Inilah antara sebab berlakunya demonstrasi di Mesir dan atas dasar menentang kezaliman Presiden Hosni Mubarak maka rakyat Mesir mengambil insiatif untuk mengadakan demonstrasi. Keadaan diburukkan lagi dengan berlakunya pergaduhan di antara penyokong Hosni Mubarak dengan penunjuk perasaan.

Mungkin ada yang ingin bertanya mengapakah tidak diadakan pilihan raya untuk menentukan Presiden baru?

Mengapa memilih jalan berdemonstrasi sedangkan masih wujud alternatif yang tidak melibatkan kekerasan?

Ini kerana sejarah telah memperlihatkan kepada kita bahawa rakyat tetap tertindas dengan ketidakadilan pilihan raya. Presiden Hosni Mubarak yang telah hampir tiga dekad memegang tampuk pemerintahan telah mengamalkan politik kotor untuk mengekalkan jawatannya sebagai Presiden. Atas dasar ini maka rakyat telah mengambil jalan yang drastik oleh kerana kegagalan pilihan raya yang tidak pernah memihak kepada rakyat.

Sejak demonstrasi yang bermula pada 28 Januari yang lepas telah menyebabkan lebih kurang 300 rakyat Mesir menemui ajal. Tarikh 11 Feb 2011 akan memperlihatkan kemuncak pertembungan antara rakyat dan regim Mesir selepas hampir 3 minggu berdemonstrasi. Dalam masa yang sama kemungkinan lebih sejuta rakyat Mesir akan berarak ke istana Hosni Mubarak untuk mendesak beliau meletakkan jawatan.

Perjuangan menumbangkan regim Mubarak akan membuka laluan kepada pembebasan umat Islam di Palestin dan rakyat Timur Tengah yang didalangi oleh Israel. Inilah pengajaran oleh Allah SWT bahawa kerajaan yang zalim tidak akan kekal selamanya melainkan kerajaan yang diredhai oleh Allah SWT.

Marilah kita mendoakan semoga kemenangan rakyat Mesir menumbangkan regim Mubarak kerana jatuhnya umat Islam kerana meninggalkan Islam dan jatuhnya manusia kerana menolak Islam.