Tuesday, April 19, 2011

Memahamkan Makna Politik Kepada Manusia

“Budak-budak tidak dibenarkan berpolitik!!!!”, ucapan seorang guru sahabat saya.

“Betul ke budak-budak tidak dibenarkan berpolitik?, Tanya seorang sahabat karib saya.

Saya sedar bahawa saya bukanlah seorang yang layak untuk berbicara tentang hal politik. Tidak pernah terlintas dalam fikiran saya bahawa saya adalah seorang yang hebat dalam menerangkan tentang hal-hal politik semasa. Namun, saya adalah seorang manusia yang dikurniakan oleh Allah SWT dengan kurniaan akal untuk membezakan antara hak dan batil.

Namun, akal sahaja tidak cukup untuk menentukan apa itu hak dan apa itu batil. Atas sebab itu, Allah SWT menurunkan Al-Quran sebagai panduan dan mengutuskan Rasulullah SAW sebagai ikutan kepada seluruh manusia di atas muka bumi ini.

Politik yang dalam bahasa arabnya disebut sebagai “siasah”. Apabila saya menyebut politik maka saya memaksudkan ia sebagai disiplin dalam mengatur kehidupan manusia. Politik juga membawa maksud memimpin.

Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis :

“Apabila tiga orang bermusafir bersama, hendaklah dilantik salah seorang daripada mereka menjadi ketua”

[riwayat Abu Daud, daripada Abu Said al-Khudri r.a]

Kenapa perlu dilantik seorang ketua ketika hendak bermusafir?

Islam mengajar kita supaya tertib dalam setiap perkara yang ingin dilakukan supaya dengan cara ini kehidupan kita akan lebih bersistematik. Atas dasar ini, Rasulullah menyarankan supaya dilantik seorang ketua untuk setiap perjalanan yang hendak ditempuhi. Saranan yang bertujuan mengajar manusia tentang erti tanggungjawab.

Pentingnya memimpin dalam hidup bermasyarakat menjadi sebab mengapa para sahabat tidak bertangguh berkumpul di Tsaqifah Bani Sa’idah untuk mencari pemimpin menggantikan kekosongan posisi itu yang berlaku akibat kewafatan Rasulullah SAW, biar pun jasab baginda masih belum lagi dikebumikan.

Politik yang didefinisikan dengan sebagai Hiraasah al-Deen wa Siyaasah al-Dunya bihi (memelihara agama dan mengurus tadbirkan dunia dengan agama itu) di dalam kitab al-Ahkaam al-Sulthaniyyah karangan Imam Mawardi adalah peraturan Allah kepada tamadun manusia.

Saya menjadi ‘panas’ apabila adanya segelintir manusia yang menegaskan bahawa budak-budak tidak dibenarkan berpolitik. Jangan melihat politik itu hanya pada satu sudut tetapi perluaskan kefahaman tentang maksud politik itu sendiri. Sekiranya budak-budak tidak dibenarkan berpolitik(memimpin), tidak perlu kepada sekolah untuk melantik seorang ketua pengawas, tidak perlu untuk seorang guru melantik seorang ketua darjah di dalam sesebuah kelas.

Soal memilih parti politik yang mana itu adalah perkara yang berasingan, tetapi tidak terlibat dengan politik tidak bermakna kita tidak boleh belajar, mengambil tahu dan membuat pendirian mengenainya. Parti politik adalah kenderaan dan wadah untuk memperjuangkan sesuatu isu.

Saya bersetuju dengan pendangan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil ketika membicarakan tentang politik. Beliau menyebut :

“Muslim boleh mengambil sikap non partisan sebagai satu bentuk pendirian politiknya. Mereka melaksanakan urus tadbir kehidupan manusia melalui badan-badan NGO atau pertubuhan kebajikan, mengikut kebolehan dan peluang masing-masing. Tetapi Muslim tidak boleh mengambil sikap tidak mengambil peduli kepada politik hanya kerana tidak mahu peduli kepada parti.”

Fahamkan remaja-remaja yang belajar di universiti tentang politik. Mereka perlu memahami tentang peranan politik dalam kehidupan mereka. Keterlibatan mereka dalam persatuan, bercakap dan bertindak tentang apa yang berlaku di sekeliling mereka , semuanya memerlukan kepada pendedahan supaya melahirkan mahasiswa-mahasiswa yang tidak sekadar ‘taklid buta’ dalam sesuatu isu yang berlaku.

Ajarkan mereka tentang amanah dalam berpolitik.

Ajarkan mereka tentang kepentingan berorganisasi/berjemaah.

Ajarkan mereka tentang kebebasan memberikan pandangan dan bersuara.

Ajarkan mereka kemahiran untuk memimpin.

Akhir kata, jangan sekat budak-budak dari mempelajari cara berpolitik (memimpin). Politik adalah sebahagian dari tuntutan agama. Agama mengatur kehidupan manusia. Tinggalkan agama sesat jalan ke syurga untuk selama-lamanya.


Muhammad Ashraf Bin Shamil

No comments: