Saturday, April 30, 2011

Membetulkan atau Mengkritik?



Merasa jemu melihat Majlis Perkahwinan Willian dan Kate di Astro TLC. Jemu yang tidak berkesudahan, ditambah dengan rasa meluat dan geram terhadap penyiaran berita TV3 yang berunsur lucah dari hari ke hari. Ketika mencari sumber bacaan untuk memanfaatkan masa yang terluang, mata tertuju kepada satu artikel oleh Yahoo News yang bertajuk "Actress Sila Sahin Becomes First Turkish Muslim Woman to Pose for Playboy". Berita menumpukan tentang seorang pelakon wanita Muslim berbangsa Turki yang telah bergambar bogel untuk sebuah majalah Playboy German.
Seluruh dunia Islam dalam keadaan marah dan geram akibat perbuatan pelakon tersebut. Ditambah lagi dengan kenyataan beliau yang berbaur “kontroversi” yang memperjelaskan tujuan beliau berbuat sedemikian sebagai salah satu cara beliau merasa bebas dari cengakaman budaya dan tradisi yang diamalkan oleh masyarakat Turki khususnya agama Islam itu sendiri.
Mungkin ramai yang akan mengecam apa yang dilakukan oleh beliau tetapi perlu diketahui bahawa segala kecaman yang kita lakukan tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya menjadikan masalah itu semakin teruk. Masalah yang pada pendapat penulis berlegar pada pemikiran bahawa merasai bahawa agama Islam itu sendiri susah lagi menyusahkan. Agama yang menyekat penganutnya daripada mempunyai kebebasan dalam menjalani kehidupan seharian.
Mengenal pasti bahawa masalah ini sebagai “Religious Skepticism”. Satu idea atau fahaman yang merujuk kepada pemikiran yang merasakan bahawa agama adalah sinis. Fahaman yang merasakan bahawa agama ini amat menyusahkan kehidupan lantas menimbulkan satu kesimpulan bahawa diri ini tidak memerlukan agama dalam kehidupan. Sesuatu yang membimbangkan apabila seseorang menyisihkan agama dalam hidup kerana apabila seseorang itu menyisihkan agama secara langsung dia telah menolak konsep hidup bertuhan.
Saya tidak ingin mengulas panjang tentang isu ini. Penulisan ini hanyalah satu luahan yang mungkin lambat laun akan hilang ditenggelam zaman. Mungkin kita tidak akan bersetuju dengan kenyataan Sila Sahin tetapi jalan penyelesaiannya bukan kepada mengecam dia atas apa yang dilakukan tetapi sepatutnya lebih ke arah memperbetulkan pemikiran dia terhadap agama itu sendiri. Itu yang lebih PENTING.
Sebahagian jari yang menunding, mungkin perlu balik kepada diri.

No comments: