Friday, February 11, 2011

Ulasan Isu Semasa

Dunia digembarkan dengan berita tentang demonstrasi besar-besaran yang berlaku di negara Mesir. Demonstrasi yang bermatlamat mendesak Presiden Mesir iaitu Mohamad Hosni Mubarak supaya melepaskan jawatan beliau yang telah beliau pegang selama lebih kurang 32 tahun sejak kematian Anwar Sadat yang merupakan Presiden Mesir yang sebelumnya.

Ini berlaku hasil dari revolusi yang berlaku di Tunisia. Revolusi yang dipimpin oleh Muhammad Bouazizi telah menjatuhkan kerajaan yang dipimpin oleh regim Ben Ali yang telah memerintah selama 23 tahun. Pemerintahan yang menindas rakyat selama bertahun-tahun akhirnya menyaksikan kebangkitan rakyat sehingga tergulingnya pemerintahan regim Ben Ali.

Hasil dari kebangkitan rakyat yang menjatuhkan kerajaan zalim di Tunisia telah membakar semangat rakyat Mesir untuk menentang Hosni Mubarak yang merupakan sekutu Israel yang paling rapat. Kesabaran rakyat yang menyaksikan penindasan serta kekejaman yang dilakukan oleh beliau tidak dapat ditolenrasikan lagi.

Rafah salah satu tempat di Mesir merupakan antara pintu yang menghubungkan manusia dengan Gaza. Gaza yang terletak di Palestin boleh dimasuki melalui tujuh pintu, namun enam daripadanya dikawal oleh pihak berkuasa Israel hanya Rafah sahaja yang dibuka untuk misi kemanusiaan. Namun untuk memasukinya amatlah susah dan terpaksa melalui pelbagai prosedur.

Sebelum kejadian demonstrasi besar-besaran kita dikejutkan dengan pembinaan tembok pemisah yang bertujuan menghalang perjalanan di antara Gaza dan Rafah. Meskipun mendapat bantahan daripada Badan Ulama Al-Azhar yang merupakan sayap kanan Universiti Al-Azhar namun projek ini tetap mendapat kelulusan daripada Presiden Mohamad Hosni Mubarak. Para ulama menyatakan pendirian mereka dalam isu ini bahawa pembinaan tembok ini adalah haram di sisi agama, undang-undang manusia dan juga kemanusiaan seolah-olah dengan sekatan ini membenarkan penceroboh Yahudi membunuh warga Palestin yang disekat.

Oleh sebab itu, Mesir dinamakan sebagai nadi umat Islam kerana peranannya yang besar dalam membebaskan kota Palestin dari cengkaman Yahudi. Inilah antara sebab berlakunya demonstrasi di Mesir dan atas dasar menentang kezaliman Presiden Hosni Mubarak maka rakyat Mesir mengambil insiatif untuk mengadakan demonstrasi. Keadaan diburukkan lagi dengan berlakunya pergaduhan di antara penyokong Hosni Mubarak dengan penunjuk perasaan.

Mungkin ada yang ingin bertanya mengapakah tidak diadakan pilihan raya untuk menentukan Presiden baru?

Mengapa memilih jalan berdemonstrasi sedangkan masih wujud alternatif yang tidak melibatkan kekerasan?

Ini kerana sejarah telah memperlihatkan kepada kita bahawa rakyat tetap tertindas dengan ketidakadilan pilihan raya. Presiden Hosni Mubarak yang telah hampir tiga dekad memegang tampuk pemerintahan telah mengamalkan politik kotor untuk mengekalkan jawatannya sebagai Presiden. Atas dasar ini maka rakyat telah mengambil jalan yang drastik oleh kerana kegagalan pilihan raya yang tidak pernah memihak kepada rakyat.

Sejak demonstrasi yang bermula pada 28 Januari yang lepas telah menyebabkan lebih kurang 300 rakyat Mesir menemui ajal. Tarikh 11 Feb 2011 akan memperlihatkan kemuncak pertembungan antara rakyat dan regim Mesir selepas hampir 3 minggu berdemonstrasi. Dalam masa yang sama kemungkinan lebih sejuta rakyat Mesir akan berarak ke istana Hosni Mubarak untuk mendesak beliau meletakkan jawatan.

Perjuangan menumbangkan regim Mubarak akan membuka laluan kepada pembebasan umat Islam di Palestin dan rakyat Timur Tengah yang didalangi oleh Israel. Inilah pengajaran oleh Allah SWT bahawa kerajaan yang zalim tidak akan kekal selamanya melainkan kerajaan yang diredhai oleh Allah SWT.

Marilah kita mendoakan semoga kemenangan rakyat Mesir menumbangkan regim Mubarak kerana jatuhnya umat Islam kerana meninggalkan Islam dan jatuhnya manusia kerana menolak Islam.

No comments: