Hari ini bermula seperti hari-hari yang lain aku bangun dengan kedengaran azan dari masjid yang lebih kurang 5 minit perjalanan dari rumahku. Suasana pagi yang amat menguji keimanan seorang muslim untuk bangun melaksanakan ketaatan kepada Allah oleh kerana kedinginan cuaca yang hampir mencecah 12 Cº. Situasi ini mengingatkan aku kepada kata-kata Saidina Umar r.a. yang berbunyi “Musim Sejuk Adalah Musuh Agama”.
Selesai melaksanakan solat Subuh secara berjemaah serta membaca Al-Quran dan wirid. Aku bergegas menyiapkan diri untuk ke universiti untuk menghadiri kelas pagi yang bermula dari pukul 7.00 pagi hingga 12.00 tengahari. Dewan kuliah yang kebanyakannya dipenuhi oleh pelajar-pelajar Yaman, Somalia, dan lain-lain. Sebagai seorang anak kelahiran Malaysia yang bahasa ibundanya merupakan Bahasa Malaysia bertutur dalam bahasa Arab merupakan sesuatu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
Tepat pukul 12.00 tengahari aku memulakan langkah dari universiti ke rumah. Rumah yang menempatkan lebih kurang 18 orang rakyat Malaysia yang masing-masing mempunyai ragamnya yang tersendiri. Sesampai aku di rumah azan dilaungkan menandakan masuknya waktu solat Zuhur. Dengan badan yang keletihan aku mengagahkan diri untuk mengambil wuduk untuk menunaikan solat Zuhur. Seusai solat aku merebahkan diri di atas katil dengan niat untuk mengembalikan tenaga yang telah hilang kerana hampir seharian memerah otak.
Aku dikejutkan oleh Aiman sepupuku yang memperingatkan aku bahawa kami mempunyai kelas Al-Quran bersama Sheikh Ali Al-Hauri yang merupakan salah seorang qari yang terkenal di Yaman. Aku berkesempatan berkenalan dengan beliau ketika aku dan Aiman ditugaskan untuk menjadi penterjemah bagi beliau yang telah mendapat tawaran untuk menjadi imam tarawih di salah sebuah masjid di Kelantan sepanjang bulan Ramadan. Sekembalinya kami ke Yaman kami telah mengambil keputusan untuk bertalaqqi Al-Quran dengan beliau.Turut mengikuti kami adalah sebahagian teman serumah kami serta beberapa sahabat-sahabat kami yang terdekat.
Kami berangkat menuju ke rumah selepas setiap orang dalam halaqah tersebut selesai memperdengarkan hafalan mereka dan aku juga tidak terkecuali. Kami sampai di rumah ketika jam menunjukkan 5.30 petang dan kami mempunyai baki lebih kurang 20 minit lagi untuk berehat dan mempersiapkan diri untuk solat Maghrib. Setelah solat Maghrib rumah kami mengadakan halaqah Al-Quran yang diketuai oleh Sheikh Abdul Rahman Al-Bahr. Seseorang yang murah dengan senyuman walaupun terpaksa melayan karenah ahli-ahli rumah yang kebanyakannya masih berumur belasan tahun.
Solat Isyak pada malam itu diimamkan oleh Sheikh Abdul Rahman. Aku bertakbir menjadi makmumnya. Oleh kerana terlalu asyik mendengar bacaan imam. Aku rasakan bahawa solat isyakku pada malam itu terlalu pendek dan cepat. Selepas mengucapkan selamat tinggal kepada sheikh, aku terus mencapai buku di atas rak sambil membaringkan badan di atas katil. Buku yang bertajuk Murabbi Cinta karangan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil yang merupakan seorang pendakwah kelahiran Ipoh dan juga penulis blog saifulislam.com.
Hampir setengah jam menelaah buku tersebut aku mengambil keputusan untuk tidur. Memerhatikan kegelapan malam yang diterangi bulan serta dipagari bintang-bintang cukup menenangkan hati sehingga aku terlelap di dalam lena yang panjang. Inilah kehidupan seharianku sepanjang keberadaanku di Yaman sebagai seorang yang bergelar pelajar. Kehidupan yang bukan sahaja mematangkan aku setiap hari tetapi juga menjadi kenangan yang bermakna sebelum tiba di destinasi yang kekal abadi iaitu akhirat.
No comments:
Post a Comment